Indonesia Akan Merombak Levi Minyak Sawit Untuk Menyokong Program Biodiesel

0 15

Indonesia, selaku pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, merancang untuk merombak peraturan levi eksport minyak sawit untuk meningkatkan pungutan yang lebih tinggi ketika kenaikan harga, kata seorang Menteri Kanan Kabinet kepada Reuters, sebagai langkah untuk menyokong program biodiesel. 

Sejak bulan Jun tahun ini, Indonesia telah membuat pungutan maksimum US $55 per tan untuk eksport minyak sawit, tanpa mengambil kira harganya. 

Tetapi pungutan levi baharu akan bergantung pada harga eksport, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto dalam wawancara pada hari Selasa. 

“Jadi setiap kenaikan sebanyak AS $25, ia akan meningkatkan pungutan sebanyak AS $5,” kata Hartarto. 

Indonesia melakukan pungutan levi untuk membiayai jurang antara kos pengeluaran bahan bakar yang dibuat dari minyak sawit dan dari harga minyak mentah.

Penurunan harga minyak mentah yang bersejarah tahun ini telah melebarkan jurang dan memaksa kerajaan untuk merombak peraturan pungutan levi. Sebelum bulan Jun, pungutan hanya dilakukan apabila harga rujukan minyak sawit mentah meningkat di atas $ 570 per tan. 

Hartarto menyatakan selagi harga minyak mentah kekal sekitar $40 setong, jurang harga adalah “terkawal”. 

Kerajaan ketika ini sedang membincangkan perincian peraturan baru yang direncanakan, termasuk harga yang akan memacu levi yang lebih tinggi, menurut laporan rasmi lain. 

Indonesia saat ini memiliki program biodiesel mandatori yang dikenali sebagai B30, yang memiliki kandungan bahan bakar berasaskan 30% minyak sawit, dan merancang untuk meningkatkan kandungannya menjadi 40% tahun depan. 

Program yang disokong oleh Presiden Joko Widodo mempunyai dua sasaran untuk meningkatkan penggunaan minyak sayuran dan pada masa yang sama mengurangkan import bahan bakar yang mahal terhadap ekonomi terbesar di Asia Tenggara yang telah memburukkan lagi defisit akaun semasa. 

“Saya rasa dengan program ini, harga minyak sawit akan kembali stabil. Jadi kesannya kepada petani akan menjadi lebih baik,” kata Hartarto.

Diterbitkan oleh Zack Baharum

Leave A Reply

Your email address will not be published.