Darurat Politik dan Kesan Terhadap Pentadbiran Negara

0 221

Pada petang ini kita dikejutkan dengan berita tentang sesuatu yang jarang sekali didengari oleh rakyat Malaysia iaitu Darurat Politik. Apakah itu darurat politik dan bagaimana kesannya terhadap urus tadbir negara kita.

Kemelut politik yang berlaku di negara pada ketika ini seperti tiada tanda redanya. Apakah mungkin jalan penyelesaian terbaik sekiranya rundingan antara parti-parti politik tidak dapat dicapai?

Pengisytiharan perintah darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilihat seperti langkah yang baik.

Jika tiada lagi rundingan yang dapat diselesaikan oleh kedua-dua belah pihak dan menyebabkan keadaan yang sukar di mana pilihan kepada Yang di-Pertuan Agong itu adalah sama ada membubarkan parlimen atau menyelesaikan dengan cara yang lain iaitu mengaktifkan proklamasi darurat.

Pelaksanaan darurat politik di negara ini memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah untuk meneruskan jentera pentadbiran kerajaan.

Baginda akan mendapatkan nasihat daripada Perdana Menteri sama ada Kabinet sedia ada dikekalkan, ditukar atau pelantikan baharu dan keputusan akan dibuat mengikut kesesuaian pada hemat Seri Paduka.

Darurat boleh berlaku dengan tiga keadaan iaitu keselamatan dan keamanan awam, ketenteraman awam dan kesejahteraan ekonomi.

Jika ada elemen yang mendatangkan kemudaratan kepada aspek ini, keperluan kepada perlunya darurat mungkin timbul.

Kabinet boleh mengesyorkan sahaja manakala proklamasi darurat akan dibuat Seri Paduka mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Darurat yang bakal berlaku ini bukan datangnya dari isu keselamatan dan ekonomi, tetapi ia cuma isu politik. Jadi pentadbiran akan berjalan seperti biasa dengan diketuai oleh Seri Paduka yang mendapat nasihat daripada Kabinet.

Sidang parlimen masih boleh berjalan seperti biasa, malah belanjawan juga boleh diteruskan. Atau yang kedua, Seri Paduka boleh menangguhkan sidang parlimen, namun perlu ada mekanisme lain untuk meluluskan belanjawan negara.

Jika ada proklamasi darurat seperti dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 150, undang-undang darurat boleh diluluskan oleh Parlimen, jika Parlimen sedang bersidang. Manakala seandainya parlimen tidak bersidang pada masa itu, maka Yang di-Pertuan Agong boleh meluluskan Ordinan Kuasa Darurat untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Pengisytiharaan perintah darurat bagi menyelesaikan ketidakstabilan politik pernah dilakukan sebelum ini di Sarawak pada 1996 dan Kelantan pada 1977. Ketika di Sarawak pada 1996, berlaku krisis perlembagaan dan ada perebutan jawatan Ketua Menteri dan akhirnya Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat dan satu ordinan darurat telah diluluskan parlimen untuk meminda perlembagaan negeri Sarawak untuk memberi kuasa kepada Gabenor untuk memanggil Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Keadaan itu boleh berlaku apatah lagi dalam keadaan kerajaan mungkin meramalkan kesukaran untuk dapatkan kelulusan belanjawan yang dibentangkan di parlimen pada 6 November ini.

Ia akan beri kesan kepada kestabilan kerajaan kerana kerajaan dikatakan ada 113 undi. Kalau ada dua atau tiga orang ahli parlimen yang tidak sokong, maka bajet tidak dapat diluluskan. Jika itu berlaku, ia akan menimbulkan suasana yang tidak stabil bahawa kerajaan tak dapat sokongan majoriti.

Pengisytiharaan darurat ini bukan satu pilihan yang utama tetapi sebagai pilihan yang terakhir jika tidak dapat diselesaikan kemelut politik ini secara aman dan menerusi rundingan.

Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri interim seperti apa yang diperkenankan baginda apabila satu kemelut politik berlaku pada Februari lalu.

Diterbitkan oleh Zack Baharum

 

 

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.